Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) kesan daripada pandemik Covid-19 antara punca kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kesesakan di ETD bukanlah perkara baru tetapi isu yang diwarisi sejak sekian lama.

"Namun mengikut data yang diperoleh daripada Pusat Informatik Kesihatan (PIK), Bahagian Perancangan KKM, kita melihat satu trend peningkatan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma dan ini berpunca daripada pelbagai faktor.

"Salah satu faktor adalah kesan daripada pandemik Covid-19, yang mana kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin meningkat," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat hari ini.

Kelvin meminta Kementerian Kesihatan menyatakan rancangan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan seluruh negara.

Zaliha berkata, KKM sudah merangka tujuh langkah dalam menangani permasalahan itu menerusi pengauditan dalaman dan meneliti semula keberkesanan inisiatif sedia ada dalam KKM.

"Atas tujuan ini, saya sendiri turun ke lapangan dan akan bertemu dengan Pengarah Negeri dan hospital untuk mendengar sendiri dan memahami isu di setiap Jabatan Kecemasan secara spesifik dan mencari jalan penyelesaian bersama bagaimana KKM dapat menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap hospital.

"Selain itu, KKM akan mengaplikasikan Lean Healthcare yang melihat kepada keseluruhan proses kerja bagi mengurangkan aktiviti yang tiada nilai tambah demi meningkatkan efisiensi.

"Proses berulang yang menjejaskan pergerakan pesakit dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali bagi memastikan aliran pesakit berjalan lancar. Ini membantu memendekkan masa menunggu sekali gus mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan klinik pakar," katanya.

Katanya, aktiviti penambahbaikan yang dilakukan menerusi inisiatif Lean Healthcare menyasarkan pengurangan waktu menunggu untuk berjumpa doktor, bermula dari kaunter pendaftaran sehinggalah pesakit mengambil ubat di farmasi.

Menurutnya, ia termasuk masa menunggu katil untuk pesakit yang perlu dimasukkan ke wad dari Jabatan Kecemasan.

"Antara contoh pelaksanaan adalah di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang dapat mengurangkan masa menunggu pesakit dari 192 minit kepada 88 minit (secara purata) manakala di wad perubatan pula dapat mengurangkan masa menunggu pesakit untuk didiscaj dari 360 minit kepada 180 minit," katanya.

Menurutnya, Projek Short Stay Unit (SSU) yang memfokuskan kepada pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang daripada 72 jam.

"Ini dapat mengurangkan waktu menunggu untuk mendapatkan katil bagi pesakit kes ringan yang memerlukan pemantauan jangka pendek di hospital, seterusnya mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan mengurangkan Length of Stay (LOS) pesakit di hospital," katanya.

Katanya, inisiatif lain menerusi pelaksanaan Bed Management Unit (BMU) secara berpusat di peringkat hospital, dengan unit itu bertanggungjawab untuk pengurusan katil dan aliran pesakit sama ada pesakit kecemasan dan elektif.

"Pengurusan katil yang cekap dan efektif ini dapat mengurangkan masa menunggu pesakit di Jabatan Kecemasan untuk mendapatkan katil, seterusnya mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan.

"KKM memperkasakan BMU melalui Sistem CPRC Hospital yang mempunyai dashboard kapasiti katil hospital bagi melancarkan pengurusan aliran pesakit dalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 12:11 PM