Gambar hiasan
Gambar hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang penyelia projek kerugian RM95,200 selepas terpedaya urusan jual beli kenderaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 56 tahun tertarik dengan tawaran membeli kereta Honda Jazz pada harga RM21,600 menerusi Facebook pada 11 Mei lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat 17 transaksi kepada tiga akaun berbeza yang berjumlah RM95,200 selepas suspek memberikan pelbagai alasan untuk menjual kenderaan terbabit.

"Siasatan mendapati sumber kewangan mangsa adalah daripada tuntutan insurans kemalangan dan simpanan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes lain, beliau berkata, seorang kerani swasta berusia 44 tahun kerugian RM93,900 selepas terpedaya Phone Scam pada 8 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan laporan, mangsa menerima terima panggilan telefon dari syarikat penghantaran barang yang memaklumkan bungkusan atas nama mangsa disekat.

"Panggilan kemudiannya disambungkan kepada pihak polis dan dimaklumkan mangsa terbabit dengan sindiket pengubahan wang haram.

"Mangsa juga dikatakan memiliki waran tangkap di Ipoh, Perak sehingga mangsa berasa takut dan diarahkan memindahkan wang kepada tiga akaun berbeza untuk tujuan siasatan.

"Mangsa berasa curiga dan mula berasa ditipu selepas mengalami kerugian RM93,900. Sumber hasil kewangan mangsa adalah hasil daripada wang simpanan sendiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dulu bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan

https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 11:10 AM