BEG kuning yang mengandungi mayat bayi perempuan ditemui di Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh. FOTO Ihsan polis.
BEG kuning yang mengandungi mayat bayi perempuan ditemui di Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh. FOTO Ihsan polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Usaha mengesan ibu bayi perempuan yang ditemukan sudah meninggal dunia di perkarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh di sini, semalam sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mayat bayi perempuan itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

"Setakat ini usaha mengesan ibu bayi itu sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Individu yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan, dan jika ada sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi hotline IPD di talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam ditemukan di perkarangan sebuah masjid Jemapoh, Juasseh, di sini.

Sementara itu, penemuan mayat bayi itu mengejutkan penduduk dan ia insiden pertama kali berlaku di sini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Shariza Sharif, 55 berkata, bayi berkenaan dijumpai oleh tiga remaja lelaki yang sedang bergotong-royong membersihkan tembok masjid untuk dicat baharu pada 3.30 petang.

"Ketika melalui perkarangan masjid mereka menemui beg berwarna kuning yang didalamnya terdapat kotak.

"Sebaik diperiksa mendapati bayi yang masih bertali pusat, tetapi tidak bernyawa sebelum membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 4:21 PM