LAPORAN portal Harian Metro.
LAPORAN portal Harian Metro.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ramai mangsa penipuan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) terdiri daripada pengusaha restoran.

Ini kerana terdapat pengusaha restoran yang mengambil jalan mudah dengan membayar ejen tertentu yang membuat untung mudah.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan berkata, semua aduan berkaitan yang diterima pihaknya akan dirujuk kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) untuk tindakan susulan.

Katanya, sebelum ini pihaknya dimaklumkan mengenai kemungkinan pembabitan orang dalam dalam proses pengeluaran PLKS itu.

"Apa yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan maklumat yang disalurkan.

"Jadi kita akan terus salurkan maklumat agar kegiatan terbabit dapat dibanteras sepenuhnya selepas ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam PPMM di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Presma Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Mengulas lanjut, Che Hassan berkata, setakat ini kerugian ditanggung mangsa berjumlah lebih 500,000 dan pihaknya meminta lebih ramai tampil membantu siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu Jawahar Ali berkata, pihaknya berharap dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, isu ini dapat diselesaikan.

Katanya, Presma juga menasihati ahlinya agar tidak mengambil jalan mudah untuk mendapatkan pekerja asing, sebaliknya merujuk terlebih dulu dengan pihak berwajib.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilapor berkata, seorang daripada lima suspek sindiket pengeluaran PLKS yang ditahan SPRM adalah bekas kakitangan Jabatan Imigresen.

Beliau dipetik berkata, individu itu berhenti beberapa tahun lalu dan dikatakan berperanan sebagai mediator sindiket terbabit untuk mengguna pakai sistem dan penduaan PLKS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 12:09 AM