KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY. FOTO Arkib NSTP
Teh Athira Yusof


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata, semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet.

"Justeru, AGC akan mengetahui dan memberikan ulasan mereka. Perolehan ditandatangani oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya menerusi jawapan ringkas kepada New Straits Times, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembentangan Kertas Putih oleh KKM berhubung perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan.

Anwar berkata, perolehan terbabit juga ditandatangani tanpa persetujuan AGC.

Katanya, kertas putih terbabit akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang oleh Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Sementara itu, usaha mendapatkan seorang lagi bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, tidak berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 7:18 PM