Dr Zaliha Mustafa. FOTO Aziah Azmee.
Dr Zaliha Mustafa. FOTO Aziah Azmee.
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kertas Putih Perolehan Vaksin Covid-19 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata tempoh yang disasarkan itu disifatkan sesuai kerana pihaknya perlu terlebih dahulu meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perolehan vaksin setebal 521 muka surat.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengambil kira beberapa kebimbangan diutarakan Jemaah Menteri mengenai hal itu.

"Kita sudah tubuhkan pasukan untuk meneliti dan melihat perbandingan dengan (laporan) PAC yang mengutarakan benda itu (perolehan vaksin Covid-19).

"Tetapi, Kabinet ada beberapa kebimbangan yang kena jawab juga. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pasukan yang akan draf Kertas Putih ini. Insya-Allah, saya memang tengah push (mempercepatkan).

"Kita akan cuba bentang sebelum atau masa sidang Parlimen kedua. Kalau Jun, selesa sikit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 9 Februari lalu, KKM dilapor menubuhkan pasukan kerja untuk merangka Kertas Putih Perolehan Vaksin Covid-19, bagi memastikan ketelusan urusan berkenaan yang dibuat semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, dokumen itu akan memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin berkenaan, dengan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan bagi memastikan ketelusan demi manfaat rakyat keseluruhan.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor memaklumkan, KKM akan membentangkan Kertas Putih perolehan vaksin dan kos berkaitan, yang sebahagiannya dipercayai tidak mengikut peraturan serta ditandatangani tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Perdana Menteri berkata, Kertas Putih berkenaan akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang dan Dr Zaliha akan memperincikan perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 7:33 PM