Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Subang: Kredibiliti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi penerbitan laporan isu perolehan vaksin Covid-19 yang sepatut dipersoalkan dan bukannya Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait perolehan vaksin Covid-19 akan dibentangkan di Parlimen.

Katanya, jika beliau memberi komen berkenaan perkara berkenaan, ia akan merendahkan kredibiliti Negara PAC dan bukannya KKM.

"PAC memutuskan dalam laporan setebal 521 muka surat bahawa perolehan vaksin berkenaan dibuat secara teratur.

"Perkara ini kita sudah jawab kepada PAC juga Pengerusi PAC (Wong Kah Woh) pun telah buat pengumuman dan sebagainya. Jadi siasatan dan sebagainya telah pun dibentang kepada PAC.

"Kalau kita beri komen itu mengenai isu perolehan vaksin Covid-19 akan 'undermining' (merendahkan kredibiliti) bukan KKM tetapi PAC.

"Kalau PAC sudah bagi satu pandangan (maka) selesailah. Tetapi kalau kita nak persoal, persoal PAC betul ke tidak (laporan siasatan terhadap perolehan vaksin Covid-19," katanya kepada pemberita di program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendedahkan perolehan vaksin Covid-19 dan kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan.

Menurutnya, perolehan bagi vaksin itu telah ditandatangani oleh Menteri Kesihatan tanpa mendapat persetujuan daripada Peguam Negara.

Kata Anwar, KKM akan membentangkan membentangkan kertas putih mengenai perkara itu di parlimen.

Kah Woh pada 1 Disember 2021 dilaporkan berkata, urusan perolehan vaksin dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan yang dibenarkan Kementerian Kewangan (MOF).

Katanya, PAC berpuas hati dengan harga perolehan vaksin daripada pelbagai portfolio oleh kerajaan yang didapati munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:44 PM