Suraya Roslan


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menipu wanita berhubung urusan pinjaman wang, tahun lalu.

Tertuduh Desmond Lew Kok Cheng, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Cheam Sheue Lin, 28, dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang selepas menunjukkan bukti pindahan wang atas talian ke akaun mangsa.

Tertuduh dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai RM1,500 dengan menunjukkan resit bayaran yang tidak sah untuk pinjaman, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah gimnasium beralamat di Bandar Utama 8, Petaling Jaya pada 14 November 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

TERTUDUH dibawa polis untuk pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret. FOTO Saifullizan Tamadi.
TERTUDUH dibawa polis untuk pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret. FOTO Saifullizan Tamadi.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa di mahkamah sama atas 26 pertuduhan lain mengikut seksyen sama dan dikenakan ikat jamin keseluruhan RM47,000.

Tertuduh yang juga anak tunggal mempunyai 10 kes penipuan direkodkan di Kuala Lumpur, manakala 26 kes di Petaling Jaya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 Mac untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 1:15 PM