Mohd Hafizee Mohd Arop


BEKAS Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa memasukkan nama anaknya untuk dipanggil temuduga, lima tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Zakaria,62, dalam pertuduhan pindahan didakwa sebagai Naib Canselor UPSI menggunakan jawatannya dengan mengarahkan Pendaftar UPSI untuk memasukkan nama anaknya untuk dipanggil temuduga.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, UPSI, antara 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 24 Jun hingga 12 September 2014 .

ZAKARIA dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan salah guna kuasa. FOTO Abdullah Yusof
ZAKARIA dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan salah guna kuasa. FOTO Abdullah Yusof

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nurul Wahidah Jalaluddin manakala Zakaria diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan, Noor Hidayah Mohd Saad dan Mohd Khairul Fairuz Rahman.

Terdahulu, Indra dalam penghakimannya berkata, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Harian Metro pada 27 November tahun lalu melaporkan, Zakaria mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna kuasa melantik anak dan menantunya ke dua jawatan di UPSI sebelum pertuduhan itu dipinda.

Berita berkaitan:

  • Bekas Naib Canselor UPSI didakwa [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 11:54 AM