Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


UJIAN pertama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Dewan Rakyat hari ini, melayan pertanyaan Ahli Parlimen dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang baru dilantik Ketua Pembangkang.

Soalan pertama Rubiah Wang (PN-Kota Samarahan) berhubung kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini nyata soalan panas yang dinanti semua ahli depan, tidak terkecuali Anwar yang mahukan penjelasan mengapa pelan pemulihan ekonomi dan peruntukan besar dikeluarkan kerajaan tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menjawab itu, Muhyiddin yang sudah menjangkakan soalan berkenaan daripada Anwar berkata, permasalahan besar dihadapi kerajaan dalam soal mengurus Covid-19 menyebabkan kerajaan tiada pilihan, melainkan mengambil langkah segera.

"Umum tahu, rakyat tahu, situasi sulit sekali dan kerajaan tiada pilihan serta sedar tindakan segera perlu diambil sebelum perbahasan (Dewan Rakyat).

"Walaupun perkara ini belum dibentangkan InsyaAllah Menteri Kewangan saya akan membentangkannya dalam tempoh sesi ini juga dengan segala terperinci, ada berpuluh inisiatif dilaksana kerana rakyat menunggu di luar sana," katanya.

Bagaimanapun, jawapan berkenaan masih mengundang ketidakpuasan hati Ahli Parlimen blok pembangkang khususnya yang memaklumkan, kerajaan boleh mengadakan sidang Dewan Rakyat tergempar berhubung isu berkenaan.

Kata Muhyiddin, beliau faham tanggungjawab Ahli Parlimen untuk membahaskan isu besar negara demi rakyat, namun tugas kerajaan lebih penting dalam menentukan nasib rakyat terbela.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan hampir RM15 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk membantu hampir 3.3 juta rakyat yang terkesan dengan Covid-19, antara inisiatif itu seperti Program Subsidi Upah, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan.

"Selain itu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi sedang dalam proses penyediaan pelan pemulihan ekonomi bagi jangka panjang dan akan dibentangkan pada Oktober 2020, antara lain, ia akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam pasaran buruh, reformasi institusi awam dan kerangka urus tadbir serta pelaksanaan pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat.

"Di samping pelbagai langkah yang akan diperkenalkan dalam Bajet 2021 pada 6 November, kerajaan juga sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun 2021," katanya.

Dalam isu pengangguran, beliau menjelaskan Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran sebanyak 5.5% atau 860,000 orang, namun pasaran buruh dijangka mulai pulih pada akhir tahun ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan operasi perniagaan dibuka sepenuhnya pada 10 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 11:18 AM
PENGAMAL media yang membuat liputan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mengikuti sidang berkenaan secara dalam talian di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama
PENGAMAL media yang membuat liputan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 mengikuti sidang berkenaan secara dalam talian di Bangunan Parlimen. FOTO Bernama