GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Seorang pelatih serta tiga kakitangan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, di sini, ditahan polis Selasa lalu, bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat pemulihan itu yang disyaki dibunuh.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima maklumat kematian pelatih lelaki berusia 50 tahun itu 12.55 tengah hari dan siasatan awal mendapati ada kecederaan pada badan mangsa.

Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan hasil bedah siasat mendapati kecederaan pada belakang badan mangsa akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

"Susulan itu, empat individu berusia lingkungan antara 30 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Februari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati masyarakat untuk tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih dan spekulasi berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:25 PM