Aizat Sharif


Kangar: Hampir 50 orang doktor perubatan berjawatan kontrak mengadakan demonstrasi aman di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini hari ini.

Demonstrasi aman dikenali Hartal Doktor Kontrak berlangsung kira-kira jam 11 pagi dan berakhir 30 minit itu bukan sahaja disertai doktor kontrak yang bertugas di HTF tetapi pengamal perubatan yang bertugas di seluruh kemudahan kesihatan kerajaan di Perlis.

Demonstrasi aman berkenaan juga dijalankan dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Menurut wakil kepada kumpulan doktor berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr H berkata, demonstrasi aman yang berlangsung hari ini adalah sebagai langkah pihaknya mewakili doktor berjawatan kontrak menggesa kerajaan supaya dapat menyerap doktor kontrak sedia ada secara tetap.

"Sekarang ada 23,000 doktor kontrak yang berkhidmat di hospital dan klinik kesihatan kerajaan di seluruh Malaysia, namun daripada jumlah itu hanya 789 orang doktor yang berjawatan ini sahaja diserap dengan penjawatan tetap.

"Tuntutan kami adalah agar kerajaan dapat menyerap kesemua doktor kontrak ini kepada jawatan tetap kerana ia penting buat kami untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana.

"Selain itu, sebagai doktor kontrak kami tidak dapat kelebihan seperti doktor berjawatan tetap iaitu cuti khas (hazard leave), selain isu segi pembayaran gaji serta ketelusan pemilihan ke jawatan tetap," katanya ketika ditemui pemberita selepas demonstrasi aman berkenaan, hari ini.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang demonstrasi itu malah pihak polis turut berada di kawasan hospital bagi memantau perkembangan demonstrasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan perhimpunan berkenaan.

DOKTOR berjawatan kontrak mengadakan demonstrasi aman di perkarangan Blok B, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. FOTO Aizat Sharif.
DOKTOR berjawatan kontrak mengadakan demonstrasi aman di perkarangan Blok B, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. FOTO Aizat Sharif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 1:09 PM