PEGAWAI LUAS melakukan pemeriksaan dan membuat kawalan supaya tumpahan minyak dan hidraulik daripada kemalangan sebuah treler. FOTO ihsan FB LUAS
PEGAWAI LUAS melakukan pemeriksaan dan membuat kawalan supaya tumpahan minyak dan hidraulik daripada kemalangan sebuah treler. FOTO ihsan FB LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Tumpahan diesel dan hidraulik dari sebuah treler terbabit kemalangan di Kilometer 371.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Slim River, Perak malam tadi berjaya dikawal dan mengelak gangguan di Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH) di sini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada PLUS berhubung kemalangan itu jam 12.40 tengah malam tadi.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan tumpahan bahan cemar terbabit memasuki parit lebuh raya namun ia berjaya dikawal dengan segera.

"Berdasarkan semakan jajaran, bahan cemar berkenaan akan memasuki kawasan Selangor iaitu Sungai Bernam melalui Sungai Trolak (Perak).

"Ini berpotensi menyebabkan gangguan kepada LRA Bernam River Headworks (BRH) yang berada sekitar 22.7 kilometer di hilir lokasi kemalangan," katanya.

Menurut LUAS, tempoh masa aliran untuk bahan cemar itu sampai sekitar 15 jam.

Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandu terbabit dalam kemalangan, malam tadi.

Mangsa, Mohd Nor Afzam, 36, dari Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 11 malam.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 10:34 AM