Singapura. FOTO hiasan
Singapura. FOTO hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Singapura, esok.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad selain pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan, dalam lawatan rasmi esok.

Lawatan ini adalah bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bersempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia-Singapura melalui udara dan sempadan darat, yang berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob selain perjumpaan dengan Hsien Loong.

Semasa perjumpaan itu, kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura, termasuklah meneroka peluang kerjasama yang baharu terutamanya dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

Kedua-dua Perdana Menteri akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Lawatan rasmi ini akan dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Republik Singapura.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:09 PM