ISMAIL Sabri (kiri) bersama Lee Hsien Loong pada majlis sambutan sempena lawatan rasmi beliau di Istana hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (kiri) bersama Lee Hsien Loong pada majlis sambutan sempena lawatan rasmi beliau di Istana hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Singapura: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasminya ke Singapura dengan menghadiri majlis sambutan di Istana, di sini, hari ini.

Ia adalah lawatan rasmi kali pertama Ismail Sabri ke negara republik ini sebagai Perdana Menteri.

Di majlis itu, Ismail Sabri memeriksa kawalan kehormat dan menandatangani buku pelawat.

Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya, dan beliau kemudian membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) laluan darat Singapura-Malaysia.

Ismail Sabri diiringi oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, dan pegawai-pegawai kanan.

Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perjumpaan empat mata dengan Lee, sebelum mengadakan persidangan media bersama, yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Lee.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:06 PM