GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 13,827 mangsa banjir di tiga negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,480 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 3,328 malam tadi dan ditempatkan di 35 PPS di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Mersing kekal dengan jumlah mangsa paling ramai membabitkan 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).

Sementara itu, empat sungai di negeri berkenaan melepasi paras bahaya.

Sementara itu di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 10,347 orang daripada 3,569 keluarga setakat 8 pagi ini, dan ditempatkan di 34 PPS di enam daerah, berbanding 10,312 mangsa daripada 3,564 keluarga malam tadi.

Menurut kenyataan JPBN Sabah, seramai 2,160 orang (795 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS di Pitas, manakala 664 orang (187 keluarga) dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan.

Di Tawau, 109 orang (24 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS dan di Telupid seramai 21 orang (lima keluarga) berlindung di dua PPS.

JPBN PAHANG pula melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi ini kekal 353 orang daripada 106 keluarga dengan empat PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam menempatkan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122), PPS Balai Raya Bukit Lepas (40) dan PPS Balai Raya Kampung Denai (26).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 10:20 AM