PASUKAN penyelamat menyeberangi Sungai Gading dan berjalan kaki sejauh satu kilometer ke lokasi kejadian. FOTO Ihsan Penduduk.
PASUKAN penyelamat menyeberangi Sungai Gading dan berjalan kaki sejauh satu kilometer ke lokasi kejadian. FOTO Ihsan Penduduk.
Recqueal Raimi


SEORANG kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah maut dipercayai mengalami sesak nafas ketika cuba memadamkan api kebakaran hutan simpan berhampiran Sungai Gading di Kampung Pituru Darat, Kota Belud, semalam.

Difahamkan, kejadian 6 petang itu, Justin Dangeh, 53, berasal dari Kampung Lingkubang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terpisah daripada kumpulan rakannya yang turut bersama-sama memadamkan api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.06 petang dan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi beserta sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Menurutnya, operasi itu turut disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak perubatan hospital Kota Belud serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JUSTIN Dangeh maut selepas mengalami sesak nafas. FOTO Ihsan Penduduk.
JUSTIN Dangeh maut selepas mengalami sesak nafas. FOTO Ihsan Penduduk.

“Berikutan jalan ke lokasi itu curam, kami menukar laluan di Kampung Song-Song dan memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) sebelum berjalan kaki memasuki hutan sejauh satu kilometer termasuklah menyeberangi Sungai Gading menggunakan empat bot milik penduduk kampung.

“Bagaimanapun sebaik tiba, pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diusung keluar dari kawasan hutan pada 2.50 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada 3.10 pagi,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital Kota Belud manakala semua pihak terlibat operasi diarahkan menjalani proses tempat untuk nyah cemar (decontamination).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 10:24 PM