GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Umat Islam wajib mengambil pengajaran daripada perkahwinan luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan sindiket.

Demikian antara intipati dalam khutbah Jumaat bertajuk 'Bahana Nikah Sindiket' yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Dalam khutbah itu, umat Islam diingatkan agar melaksanakan pernikahan mengikut hukum syarak dan segala peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah demi sebuah kehidupan keluarga yang mawaddah, wa rahmah, sakinah dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT.

"Pernikahan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut peraturan akan membawa pelbagai masalah dan akan merugikan banyak pihak terutama suami isteri kerana tidak mempunyai Surat Perakuan Nikah yang diiktiraf.

"Undang-undang yang dibuat bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, bahkan tujuan utama Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dikuatkuasakan bagi menjaga kebajikan isteri dan anak-anak pada masa depan," katanya.

Menurut khutbah itu, antara bahana nikah luar negara tanpa kebenaran atau pernikahan secara sindiket adalah proses pendaftaran pernikahan memakan masa panjang.

"Ia membabitkan prosiding dan dokumentasi untuk didaftarkan semula memandangkan ia membabitkan pengesahan dari mahkamah.

"Ia akan bertambah rumit sekiranya dokumen dikemukakan tidak mencukupi atau palsu," katanya.

Menurut khutbah itu, jika tidak didaftarkan, Surat Perakuan Nikah yang sangat penting dalam kehidupan sebagai suami isteri tidak akan diperoleh.

"Tanpanya kita tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak seperti biasa lalu mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara juga tidak dapat dipastikan.

"Urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak juga akan bermasalah jika tidak mendapat status warganegara," katanya.

Selain itu katanya, individu terbabit akan menghadapi masalah dalam urusan penyambungan visa untuk terus berada dalam negara ini yang akhirnya terpaksa berulang alik ke luar negara yang memerlukan kos kewangan tinggi.

"Ia juga memberi kesan kepada pengurusan harta pusaka kerana pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf.

"Pelbagai tuntutan di mahkamah seperti, tuntutan perceraian, pengesahtarafan anak, tuntutan nafkah, tuntutan hadhanah, tuntutan keadilan berpoligami antara isteri-isteri, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya tidak dapat diuruskan," katanya.

Lebih memeritkan sekiranya mahkamah mendapati pernikahan yang dijalankan di luar negara tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak, maka pernikahan yang berlaku akan difaraqkan atau dibubarkan.

Antara punca utama berlakunya pernikahan di luar negara atau nikah sindiket termasuk berpoligami tanpa kebenaran dan wali nasab sedia ada tidak bersetuju dengan perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 2:14 PM