Omar Ahmad


Johor Bahru: Penggunaan e-gate di dua pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, dibuka kepada warganegara Singapura bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan penggunaan e-gate ini memberi manfaat kepada 30,000 hingga 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.

"Saya telah melihat sendiri kelancaran sistem ini yang mengambil masa jauh lebih singkat berbanding dengan kaedah biasa.

"Namun kemudahan pergerakan keluar masuk e-gate kepada warga Singapura, dikenakan syarat-syarat minimum iaitu warganegara Singapura yang memegang e-Pasport dan tempoh sah laku pasport sekurang-kurangnya tiga bulan.

"Selain itu juga, mereka sudah menghantar 'Malaysia Digital Arrival Card' (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dilakukan dan mengesahkan biometrik di kaunter-kaunter Imigresen untuk kali pertama," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, hari ini.

SAIFUDDIN (kiri) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Mengenai Kesesakan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAIFUDDIN (kiri) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Mengenai Kesesakan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Jelas Saifuddin Nasution, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut akan memperluaskan penggunaan e-gate ini kepada negara lain yang dikategorikan kurang risiko seperti Brunei, United Kingdom, New Zealand, Australia dan Jepun.

Kata Saifuddin Nasution, inisiatif pembukaan e-gate kepada warganegara Singapura ini menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa Malaysia, khususnya JIM untuk membantu rakyat kedua-dua negara.

"e-gate di BSI juga akan ditambah. Ketika ini jumlah e-gate yang ada ialah 20 untuk laluan masuk dan 20 untuk laluan keluar. Kita akan tambah lagi 20 laluan.

"Laluan pintu masuk ini, dulu ada waktu-waktu puncaknya, tetapi sekarang 24 jam waktu puncak. Setakat ini, kita belum dapat menjangkakan peratusan pengurangan kesesakan di Tambak Joho," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 1:21 PM