FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Labuan: Tiga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Sabah yang berpangkalan di Labuan di sini, direman lima hari bermula hari ini sehingga 23 Januari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad mengeluarkan perintah reman itu selepas permohonan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Labuan, Mohd Akmal Hakim Yusof.

Ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 59 dan 57 itu berkhidmat dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan masing-masing bertugas di Kota Kinabalu dan Lahad Datu, ditahan di pejabat SPRM Labuan, tengah hari semalam selepas keterangan mereka diambil.

Mereka didakwa menerima antara RM3,000 dan RM5,000 daripada syarikat pengusaha pelancongan antara 2017 dan 2019 bagi setiap pengeluaran lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah untuk penambahan penumpang tanpa mengikut prosedur permohonan penambahan penumpang yang sebenar.

Menurut Mohd Akmal pihaknya akan mengenal pasti saksi yang terbabit dalam penyediaan dan pengeluaran lesen itu dan soal siasat lanjut mengenai jejak wang seperti yang diterima oleh semua tertuduh.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 2:57 PM