ANGGOTA PPM melakukan pemeriksaan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA PPM melakukan pemeriksaan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


SERAMAI 24 pengusaha atau pengendali bot pelancong dan bot penambang dikompaun selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi khas dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di sekitar perairan Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, lebih 90 pengangkutan air termasuk bot penambang dan bot pelancongan diperiksa dalam operasi selama hampir lima jam yang bermula jam 8 pagi itu.

Katanya, operasi itu bertujuan untuk menguatkuasakan akta dan peraturan berkaitan aktiviti air terutama bot penambang dan bot pelancong supaya mematuhi syarat seperti yang termaktub dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.

Selain itu katanya, operasi berkenaan turut memberi perhatian dan khidmat nasihat kepada pengusaha industri pelancongan agar sentiasa mematuhi serta mengutamakan keselamatan terutamanya membabitkan pengoperasian bot pelancong.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati masih ada pengusaha atau pengendali bot pelancong dan bot penambang melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kesalahan berulang seperti membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan, bot tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan keselamatan termasuklah tiada jaket keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata, lesen pengusaha bot pelancong terbabit ditahan dan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk dikompaun.

“Keseluruhan kompaun bagi 24 bot itu berjumlah RM7,500 mengikut kesalahan di bawah Seksyen 8 (2) Peraturan-Peraturan JPDS 2008,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:21 AM