WAN Sapiah menjemur ikan bekok dan ikan masin di kedainya di Pantai Geting. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Sapiah menjemur ikan bekok dan ikan masin di kedainya di Pantai Geting. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Tumpat: Setiap kali musim tengkujuh, seorang pengusaha ikan masin di Pantai Geting, di sini, bagaikan sudah lali berdepan dengan kerugian disebabkan ikan masin yang dihasilkan rosak.

Bagaimanapun, Wan Sapiah Wan Yusoff, 44, menganggapnya sebagai asam garam sebagai pengusaha ikan masin meskipun kerugian dialami mencecah ribuan ringgit.

Wan Sapiah berkata, dia tetap mengambil risiko menjemur ikan masin dalam keadaan cuaca tidak menentu, baru-baru ini dan akibatnya banyak ikan masin yang dijemur menjadi berlendir, berkulat berikutan tidak mendapat cahaya matahari mencukupi.

"Memang setiap tahun beginilah cabaran yang perlu dilalui, tapi kali ini saya rasakan kerugian lebih besar kerana baru-baru ini Kelantan mengalami banjir yang teruk.

"Dengan keadaan cuaca kerap mendung dan diselang-seli dengan hujan, ikan masin yang dijemur juga terpaksa diangkat menyebabkan banyak yang rosak.

"Sebenarnya jika cuaca elok, ikan masin hanya perlu dijemur antara sehari hingga dua hari sahaja, tapi pada musim tengkujuh pengusaha ikan masin seperti saya seakan mencuba nasib dan berdepan kerugian sudah menjadi kebiasaan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, dia tidak boleh berhenti menghasilkan ikan masin pada musim tengkujuh kerana terdapat permintaan selain ia juga sumber pendapatan.

Katanya, ikan masin yang hampir rosak dan masih boleh dimakan tidak akan dijual sebaliknya akan diberi secara percuma kepada pelanggan yang datang membeli produknya yang lain.

"Untuk mengurangkan kos kerugian sepanjang musim tengkujuh, saya juga menghasilkan ikan bekok kerana cara mengeringkannya.

"Berbanding ikan masin, ikan bekok yang hanya dijemur seharian lebih digemari pelanggan kerana rasanya yang kurang masin serta tidak kering sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 3:03 PM