Siti Rohana Idris


Tumpat: Peralihan Monsun Timur Laut sememangnya dinantikan penggemar ikan budu kerana menu itu hanya wujud pada musim tengkujuh sahaja.

Di sebalik aroma yang kurang menyenangkan, ikan budu yang diperam antara lima hingga enam bulan bersama garam dan asam keping akan menjadi hidangan menyelerakan apabila digoreng dan dijadikan lauk atau dicicah dengan ubi kayu.

Bagi pengusaha ikan kering di Pantai Geting, Wan Sapiah Wan Yusoff, 43, sebanyak satu tan ikan budu diprosesnya musim ini dalam tiga tong besar dan sudah mula boleh dijual.

WAN Sapiah Wan Yusoff, 43, menunjukkan ikan tongkol yang diproses menjadi ikan budu dan diperam selama enam bulan. FOTO Siti Rohana Idris
WAN Sapiah Wan Yusoff, 43, menunjukkan ikan tongkol yang diproses menjadi ikan budu dan diperam selama enam bulan. FOTO Siti Rohana Idris

Menurutnya, dia hanya menggunakan ikan tongkol sahaja untuk dijadikan ikan budu yang dibeli daripada nelayan dengan harga RM4 sekilogram sebelum diperam di premisnya di sini.

"Saya buat ikan budu sejak musim tengkujuh tahun lalu sebagai percubaan di samping menjalankan perniagaan ikan masin serta ikan bekok.

"Sambutan terhadap ikan budu sangat menggalakkan dan untuk musim tengkujuh kali ini saya menambahkan pembuatannya kepada satu tan dan semuanya diperam dalam tiga tong besar," katanya ketika ditemui di kedainya di sini, hari ini.

Wan Sapiah yang turut menghasilkan budu tempayan berkata, ikan budu itu dijualnya pada harga RM15 sekilogram untuk pasaran runcit, manakala jualan borong pula RM10 sekilogram.

Menurutnya, untuk ikan tongkol bersaiz besar dia akan potong kepada bahagian kecil dan dijual mengikut permintaan pelanggan.

"Sambutan tahun lalu sangat menggalakkan sehinggakan saya terpaksa mengambil bekalan ikan budu daripada peniaga lain kerana pelanggan datang mencarinya di kedai.

"Peraih pula rata-ratanya akan membeli lebih kurang 10 kg dan difahamkan akan menjual pada harga RM18 hingga RM20 sekilogram kepada pembeli," katanya.

Seorang pembeli, Norhisyam Daud, 35, berkata, dia baru pertama kali mengetahui mengenai ikan budu cuba membeli seekor ikan tongkol sebagai percubaan.

Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, kedatangannya ke premis Wan Sapiah adalah untuk membeli budu dan ikan masin namun tertarik sebaik melihat ikan budu sedang dipek oleh pekerjanya.

"Ini kali pertama saya melihat ikan budu yang saya sangkakan ikan pekasam tapi saya difahamkan rasanya sangat enak walaupun bau agak kurang menyenangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:58 PM