KENDERAAN berat yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak. FOTO Ihsan PDRM.
KENDERAAN berat yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak. FOTO Ihsan PDRM.
Roselan Ab Malek


Bentong: Tiga buah kenderaan berat terbabit dalam kemalangan di kilometer 42.7 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak pada kira kira jam 6.05 pagi hari ini.

Ia termasuk sebuah lori yang membawa peralatan pengubahsuaian rumah iaitu bingkai aluminium serta kayu dan dua buah treler masing masing membawa muatan kapur manakala sebuah lagi membawa muatan besi buruk.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaihan Mohd Kahar berkata, kesemua tiga pemandu dan seorang kelindan adalah lelaki warganegara tempatan berusia antara 20 hingga 45 tahun .

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila salah sebuah treler mengalami kerosakan pada brek semasa menurun bukit dan melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong sebelah kiri dan menyebabkan lori yang dilanggar terbalik.

"Kemudian treler tersebut melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah treler lain yang berada di hadapan sebelum hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi penghadang sebelah kiri jalan, " katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemalangan tidak mengalami kecederaan serius, dan pemandu treler berusia 45 tahun menerima rawatan di Hospital Bentong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 8:35 PM