Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bekas pemandu bot pelancong 'Melaka River Cruise' diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan membunuh wanita warga emas enam tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas meneliti keseluruhan dan secara maksimum keterangan saksi pendakwaan, hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta berpuas hati satu kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh Mohd Farid Shukor atas tuduhan membunuh.

Beliau berkata, mahkamah antara lain mendapati terdapat perancangan untuk melakukan pecah rumah dan curi yang mana tertuduh memasuki rumah mangsa melalui atap.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan menyatakan mayat mangsa ditemui dalam keadaan terduduk dan mengalami kecederaan dengan muka diserkup kain serta terdapat banyak kain disumbat di dalam mulutnya.

Menurutnya keterangan pakar patologi menjelaskan punca kematian mangsa disebabkan kelemasan akibat sukar bernafas.

"Berdasarkan hujah pendakwaan, mahkamah berpendapat anggapan mengikut Seksyen 300 (c) dan (d) adalah terpakai kepada tertuduh yang dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang menyebabkan kematian, lazimnya.

"Tertuduh dengan ini diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, Kesom Ma'amin, 79 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Bayu, Alor Gajah pada 25 Mac 2017, antara jam 1.15 pagi hingga 3 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof menjalankan pendakwaan manakala peguam Chua Yong Yi menyebut bagi pihak peguam S Paul Krishnaraja.

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes pembelaan bermula esok.

Untuk rekod sepanjang perbicaraan kes bermula 2018 pihak pendakwaan memanggil 22 saksi memberi keterangan sebelum menutup kes mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 5:58 PM