Zaid Salim

Kuala Terengganu: Seramai 79 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu dikenakan tindakan tatatertib membabitkan pelbagai kes salah laku serta masalah disiplin sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, daripada jumlah itu, seramai 10 orang daripada mereka berpangkat pegawai, manakala 67 anggota dan dua kakitangan awam.

Menurutnya, salah laku adalah kesalahan paling tinggi iaitu sebanyak 47 kes diikuti dengan ugutan jenayah (16 kes), tidak hadir tugas (lapan), narkotik (lima), kes berkaitan syariah (dua) dan rasuah (satu kes).

"Kita memandang serius kesalahan dalam kalangan warga PDRM terutama yang membabitkan jenayah sekali gus mencemarkan imej pasukan.

"Ugutan jenayah paling tinggi dan paling serius, sedangkan kita (PDRM) sepatutnya menjadi pelindung masyarakat, tetapi sebaliknya pula yang berlaku, ianya menyedihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu di pekarangan IPK Terengganu, di sini, hari ini.

Pada perhimpunan itu, Rohaimi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 27 anggota dan pegawai pelbagai agensi keselamatan dan orang awam serta petugas media.

Rohaimi berkata, kadar indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu 1,594 kes pada 2021 kepada 1,476 kes pada tahun lalu dengan jumlah kes yang berjaya diselesaikan sebanyak 1,020 kes atau 69 peratus.

ROHAIMI ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu di pekarangan IPK Terengganu. FOTO Zaid Salim
ROHAIMI ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Terengganu di pekarangan IPK Terengganu. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:31 PM