DR Zambry Abdul Kadir. FOTO Arkib NSTP.
DR Zambry Abdul Kadir. FOTO Arkib NSTP.
Irwan Shafrizan Ismail


Sepang: Mempertingkat hubungan dua hala negara serumpun akan menjadi intipati penting lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia selama dua hari bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata dalam lawatan atas jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) itu, Perdana Menteri akan diiringi beliau dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Perdana Menteri dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Bogor pada 9 Januari (Isnin).

"Mesyuarat di antara kedua-dua pemimpin ini akan memberi peluang kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu, dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

"Antara isu utama yang akan dibincangkan adalah kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

"Strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian Asean oleh Indonesia pada tahun ini," katanya pada sidang media pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia di sini hari ini.

Zambry berkata, dalam lawatan itu, lapan Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia.

"Sebuah Majlis Penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara," katanya.

Katanya, melihat pembangunan IKN Nusantara tentunya akan memberi peluang kepada Malaysia terutama Sabah dan Sarawak untuk mendapat manfaat pembangunan di Kalimantan.

Selain itu Zambry berkata, pada 2021, Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar dan ketiga terbesar dikalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan RM95.31 bilion.

"Bagi Januari hingga November 2022 lalu, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar di kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM 120.26 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 4:39 PM