Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sesi santai dan ramah mesra di sekitar Pasar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sesi santai dan ramah mesra di sekitar Pasar Chow Kit hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedatangan Presiden Indonesia Joko Widodo pada sesi santai dan ramah mesra di sekitar Chow Kit di sini hari ini, disambut meriah apabila lokasi dikenali "Little Jakarta" itu dipenuhi ratusan orang terutama warga Indonesia yang mengambil peluang bertemu dengannya.

Kehadiran pemimpin republik berkenaan yang lebih dikenali sebagai Jokowi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sejurus ketibaan Jokowi dan Anwar pada kira-kira 12.30 tengah hari, kedua-dua pemimpin negara itu terus melakukan lawatan di pasar basah itu dengan laungan Bapak Jokowi sesekali bergema di lokasi berkenaan.

Beberapa warga Indonesia yang teruja melihat Jokowi, juga menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia bertajuk "Indonesia Raya" sebagai simbolik kebanggaan mereka dengan kehadiran beliau melawat serta beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Chow Kit.

Sepanjang sesi lawatannya itu, para peniaga serta pengunjung mengambil kesempatan untuk bersalaman, merakamkan video dan berswafoto dengan kedua-dua pemimpin negara itu.

Sesi santai dan ramah mesra itu diadakan bersempena dengan lawatan kerja Jokowi ke Malaysia selama dua hari yang bermula semalam.

Dalam lawatan kerjanya, Jokowi juga dijadualkan menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 petang ini.

Terdahulu, beliau dan Anwar telah menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang ditandatangani wakil kementerian serta agensi berkaitan dari kedua-dua negara di Seri Perdana, Putrajaya, pagi tadi.

Antara perjanjian yang ditandatangani ialah Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia, Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.

Kali terakhir Jokowi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia adalah pada Ogos 2019, selepas dilantik semula bagi penggal kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada 17 April 2019.

Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (US$29.55 bilion) iaitu peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (US$22.98 bilion) pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, seorang peniaga di Pasar Chow Kit yang ingin dikenali sebagai Asri, 39, berkata beliau sebagai anak kelahiran Indonesia berasa gembira dan bangga dengan kehadiran Jokowi di pasar berkenaan dan menyifatkan Presiden Indonesia itu sebagai mesra rakyat.

"Bukan mudah untuk berjumpa dengan Bapak Jokowi tetapi saya bersyukur kerana rezeki saya dapat berjumpa dengannya secara fizikal walaupun dari jauh sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 3:49 PM