LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Hydroshoppe Sdn Bhd akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu atau fitnah membabitkan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd atau pengarah syarikat konsesi berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengurusan Menara Kuala Lumpur, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu atau fitnah yang dilemparkan dan akan menjalankan siasatan lanjut mengenai isu berkenaan.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang terbabit dan kami akan menuntut kerugian dan kerosakan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung isu ini.

"Kami ingin menekankan semua rundingan membabitkan isu Menara Kuala Lumpur mendapat kelulusan lembaga pengarah dan melalui cara yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilapor berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial dan akan meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh syarikat Hydroshoppe.

Beliau dilapor turut mengesahkan, sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.

Berikutan itu, BH hari ini melaporkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat 'kunjungan' di beberapa lokasi bagi mendapatkan dokumen membantu siasatan.

Operasi itu dilakukan sejak semalam membabitkan beberapa lokasi termasuk KKD dan anak syarikat Telekom Malaysia (TM).

Pegawai SPRM juga sudah mula menemubual pegawai berkaitan bagi mengesan elemen rasuah yang dikaitkan dengan pengurusan menara itu.

SPRM juga mengesahkan pihaknya sudah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkaitan untuk diteliti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 9:16 PM