MUHAMMAD Azamudden (kiri) bersama rakannya di ruang pameran Survival PASKAL. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MUHAMMAD Azamudden (kiri) bersama rakannya di ruang pameran Survival PASKAL. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: "Pernah makan biawak untuk terus hidup," dedah seorang anggota latihan Pasukan Khas Laut (Paskal), Laskar Kelas I Muhammad Azamudden Nasahron.

Menurut Muhammad Azamudden, 25, perkara itu adalah sebahagian pengalaman unik yang dia lalui ketika menjalani latihan peringkat paya, selama seminggu.

Bercerita lanjut, dia dan rakan diarah mencari apa sahaja yang boleh dimakan dengan berbekalkan sebilah pisau sahaja.

"Pada awalnya kami makan tumbuhan sahaja. Namun pada hari keempat latihan, seorang rakan saya dapat menangkap seekor biawak.

"Memang pada ketika itu, itulah makanan paling sedap dan nikmat," kata Muhammad Azamudden ketika ditemui di ruang pameran 'Survival Pasukan Khas Laut' di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sempena Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22), hari ini.

Ruang pameran berkenaan menarik tumpuan para pengunjung kerana beberapa anggota di situ kelihatan 'asing' kerana seluruh badan mereka termasuk wajah dengan ditutupi lumpur.

Jurulatih Survival Paskal, Laskar Kanan Mohammad Hafiz Abdul Manaf, 28, menjelaskan perkara itu adalah salah satu cara ikhtiar hidup anggota Paskal semasa latihan peringkat paya.

"Survival Paskal adalah pendedahan kepada anggota sekiranya menghadapi situasi genting seperti kapal terbang terbabit nahas dan bekalan makanan terputus.

"Tujuan anggota melumur lumpur di keseluruhan badan adalah untuk penyamaran, menyejukkan badan sewaktu siang, serta lindungi daripada gigitan nyamuk dan agas.

"Anggota juga didedahkan kaedah menentukan sama ada tumbuhan dan haiwan yang dijumpai itu, selamat dimakan atau sebaliknya," katanya.

Tambah beliau lagi, pada peringkat paya juga, anggota pelatih juga diajar membina penempatan berupa pondok tinggi untuk melindungi diri daripada ancaman binatang buas dan fenomena air pasang penuh.

"Kami akan kenal pasti paras maksimum ketinggian air sebelum membina pondok. Pameran di sini supaya perkara ini dapat dikongsikan kepada orang ramai sebagai pengetahuan tambahan," katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hasrizal Mohamad, 40, menyatakan dia amat terkejut dan hairan apabila pertama kali melihat penampilan anggota sebegitu.

"Saya sangat terkejut kerana ini kali pertama saya tahu tentang ikhtiar hidup Paskal.

"Kehidupan mereka untuk terus 'survive' sangat luar biasa. Bukan semua orang boleh. Cuma yang terbaik sahaja boleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 9:02 AM