GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Bimbang selepas dikatakan terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, seorang pesara tentera kerugian RM125,000 akibat terpedaya dengan panggilan 'scam' menyamar polis pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa berusia 40-an pada mulanya menerima panggilan telefon memaklumkan dari Ibu Pejabat Pos Laju Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu berada di sebuah pusat servis kenderaan dimaklumkan oleh pemanggil bahawa terdapat bungkusan miliknya yang tidak dituntut.

"Pemanggil itu memberitahu bungkusan itu mempunyai barang terlarang seperti kad pengenalan serta kad kredit dan sudah disita oleh kastam sebelum panggilan disambung kepada dua individu mendakwa polis iaitu Sarjan Suraya dan Inspektor Dani dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Pengadu kemudian dimaklumkan terbabit kegiatan dadah dan pengubahan haram sebelum panggilan disambung ke pegawai di peringkat tertinggi untuk membuat aduan dan rayuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, pengadu juga dimaklumkan kononnya semakan ke atas akaun banknya perlu dibuat dan pegawai terbabit akan merujuk perkara itu kepada Bank Negara.

"Mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke dua akaun bank diberikan individu terbabit untuk siasatan dan pembersihan dana.

"Akibat panik mangsa memasukkan wang simpanan persaraan secara berperingkat dalam dua akaun bank berjumlah RM125,000 pada 2 hingga 3 Disember lalu," katanya.

Beliau berkata, pengadu bagaimanapun menyedari ditipu selepas menghubungi IPK Pulau Pinang untuk semakan dan dimaklumkan nama dua anggota polis itu tidak wujud.

Katanya, siasatan dijalan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan penipuan yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

"Orang ramai dinasihati segera menelefon panggilan Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang sudah diserahkan kepada sindiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:55 PM