ANTHONY Loke. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANTHONY Loke. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail

Sepang: Kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu juga dibimbangi akan menyebabkan syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti penumpang.

"Perkara ini sudah dibincang banyak kali dan pada masa ini tidak ada perancangan untuk menetapkan sebarang harga siling tiket bagi syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi berdasarkan harga yang dinamik.

"Jadi kalau kita letakkan harga siling, akan ada implikasi negatif kepada penumpang yang mana kapasiti mereka akan dikurangkan. Tiada syarikat penerbangan yang beroperasi yang mahu menanggung rugi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina pada tambang murah di sini, hari ini.

Loke berkata, beliau menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan supaya kadar lebih murah dapat ditawarkan.

"Dari segi harga, pastinya ada peningkatan setiap kali musim perayaan, namun bagi waktu-waktu lain harga tiket masih berpatutan.

"Sebab itu kita mengharapkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan jadi harga tiket akan lebih mampu dibeli orang ramai," katanya.

Tambah beliau, buat masa ini juga pihaknya memahami kekangan dihadapi syarikat untuk menambah kekerapan penerbangan.

"Kita faham, bukan semua syarikat penerbangan mempunyai lebih 100 pesawat, malah selepas pembukaan sektor ekonomi, ada yang masih beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

"Menuju ke hadapan, dengan peningkatan jumlah trafik, saya yakin semua syarikat akan beroperasi dengan kapasiti penuh, lebih banyak pesawat tersedia untuk penerbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 2:54 PM