Wee Ka Siong menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Wee Ka Siong menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Operasi perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak akan tetap diteruskan walaupun di laluan tidak berekonomi dalam usaha meningkatkan aksesibiliti penduduk di kawasan pedalaman, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selaras usaha ini kerajaan menyalurkan subsidi kepada MASwings sebagai penyedia operasi perkhidmatan setiap tahun bagi menampung kos operasi.

"Penyaluran subsidi kepada pihak MASwings yang dilaksanakan pada setiap tahun adalah tidak mengikut laluan atau negeri.

"Sebaliknya, peruntukan disalurkan berdasarkan kepada kerugian ke atas kos operasi secara keseluruhan dan bayaran sewa pajakan pesawat yang digunakan untuk menyediakan perkhidmatan ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) dan Baru Bian (PSB-Selangau) mengenai isu peruntukan sebanyak RM209 juta dalam Bajet 2022 untuk membiayai kos pengangkutan udara di kawasan luar bandar pada sesi perbahasan rang undang-undang itu sebelum ini.

Wee berkata, secara keseluruhan terdapat 40 laluan RAS meliputi 13 laluan menggunakan lapan pesawat jenis ATR 72-500 dan 27 laluan menggunakan enam pesawat jenis Twin Otter Viking DHC6-400.

Laluan berkenaan membabitkan 12 lapangan terbang dan 15 padang terbang di Sabah dan Sarawak, termasuk laluan ke destinasi pedalaman seperti Bario, Ba'Kelalan, Marudi, Long Akah, Long Lellang dan Kudat.

Bagaimanapun, Wee berkata ketika ini dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Kudat dan Kudat-Sandakan dengan kekerapan penerbangan masing-masing dua kali seminggu terpaksa digantung sementara perkhidmatannya bulan ini sehingga 30 November susulan permintaan yang kurang menggalakkan.

Beliau berkata, bagi Long Pasia pula perkhidmatan ke laluan itu belum disediakan ekoran keadaan padang terbang di situ yang memerlukan kerja-kerja penambahbaikan kerana mengalami kerosakan hampir 50 peratus dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM30 juta.

Mengenai permintaan harga tiket penerbangan lebih murah terutama ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal diadakan dan sambutan Tahun Baharu Cina, Wee berkata beliau telah menyampaikan cadangan itu ketika perjumpaan bersama syarikat-syarikat penerbangan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, 3 November lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata harga tiket bergantung kepada kekerapan penerbangan dan jumlah penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:51 PM