GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Hanya kerana tersilap menukar siaran televisyen, seorang lelaki dibelasah dan diugut bunuh oleh abang kandungnya di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Permai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika suspek meminta mangsa berusia 23 tahun menukar siaran televisyen.

"Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai penjual burger tersilap menekan alat kawalan jauh menyebabkan suspek menumbuk badan dan mulut mangsa menggunakan tangan.

"Suspek juga menampar muka mangsa dan mengugut dengan menyatakan 'dah cukup bagus aku tak bunuh kau'. Difahamkan, suspek kerap bergaduh dengan mangsa kerana sikapnya yang panas baran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan ditumbuk di bahagian dada, rusuk kanan dan bibir.

"Susulan laporan itu, kami menahan suspek berusia 26 tahun yang juga penganggur di rumahnya jam 12.30 tengah malam tadi.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi dan dadah, manakala ujian air kencing adalah negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Disember nanti untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

"Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah termasuk ugutan dan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 3:49 PM