PPS Kampung Lintang Baru di Serian masih menempatkan 88 mangsa banjir hari ini. FOTO Ihsan JPBN
PPS Kampung Lintang Baru di Serian masih menempatkan 88 mangsa banjir hari ini. FOTO Ihsan JPBN
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun dengan hanya seramai 137 penduduk daripada 39 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, kedua-dua PPS yang masih aktif itu berada di kawasan Serian.

Menurutnya, PPS terbabit ialah Dewan Kampung Lintang Baru yang menempatkan 88 mangsa daripada 21 keluarga dan Dewan Baru Kampung Rimba Padi yang menempatkan 49 mangsa daripada 18 keluarga.

Katanya, dua lagi PPS yang dibuka sejak dua hari lalu iaitu Dewan Kampung Betong Kanowit di Serian dan Dewan Masyarakat Lubok Buntin di Simunjan dalam bahagian Samarahan sudah ditutup pada tengah hari ini.

Gelombang kedua banjir di Sarawak tahun ini bermula di Kampung Lubok Buntin, Simunjan dalam bahagian Samarahan, Sabtu lalu.

Hujan lebat berterusan kemudiannya menyebabkan tiga lagi kampung di Serian turut dinaiki air sehingga memaksa 159 mangsa daripada 52 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah itu.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat sekejap-sekejap dijangka berterusan di Sarawak sehingga hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 3:29 PM