Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau belum pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim juga turut mempersoalkan jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.

"Setakat ini, tidak ada SST yang dikeluarkan kepada mana-mana syarikat jadi tidak timbul soal hendak batal sebab ia tidak lulus dan belum dimulakan lagi.

"Malah, saya juga tidak pernah menandatangani peruntukan RM15 bilion ini.

"Saya tidak pasti dari mana datangnya jumlah RM7 bilion yang dibangkitkan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Tuan Ibrahim berkata, setiap kali banjir negara mengalami kerugian di antara RM6 hingga RM7 bilion dan disebabkan itu isu tebatan banjir perlu diberi perhatian yang serius.

Contohnya, beliau berkata, tebatan banjir Sungai Golok perlu disegerakan bagi mengelakkan Rantau Panjang dan Pasir Mas, Tumpat dilanda banjir setiap tahun.

"Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau melihat perlu kepada dana yang besar diperuntukkan sebanyak RM15 bilion namun ia belum dilaksanakan dan baru dalam proses.

"Keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diberi perhatian dan itu bukan sahaja membabitkan tebatan banjir tetapi ia juga membabitkan naik taraf sistem.

"Sebagai contohnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu dinaik taraf termasuklah amaran awal banjir kepada pengguna dan ia membabitkan satu pakej yang besar, namun satu pun belum diluluskan lagi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Beliau dipetik berkata, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, hampir setiap tahun negeri di Pantai Timur mengalami banjir sejak berpuluh-puluh tahun lalu, seolah-olah tidak ada langkah penyelesaiannya.

"Bagaimanapun bagi projek tebatan banjir fasa pertama sudah pun dilaksanakan dan berharap kerajaan baru dapat meneruskannya.

"Ini disebabkan isu bencana alam ini membabitkan kepentingan politik, kaum dan kita harus lihat perkara ini bagi kepentingan rakyat.

"Secara peribadi saya rasa perkara ini (projek tebatan) perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara untuk mengurangkan bencana, kematian serta kerugian.

"Sekiranya ia tidak dilaksanakan, negara akan mengalami kerugian hampir RM7 bilion setahun dan ia banyak dan perlu disegerakan, tetapi ia bergantung kepada Perdana Menteri untuk meneruskan atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:31 PM
Timbalan Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir  Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 Dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di Dewan Bunga Emas, Hotel perdana. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika hadir Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 Dan Pelancaran Dasar Kelantanku Bersih di Dewan Bunga Emas, Hotel perdana. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR