SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Melaka memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula keputusan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai RM7 bilion, yang tidak diteruskan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia berikutan masalah banjir menjadi isu utama di negeri ini dan sekiranya ditangguh atau disiasat semula, ia dilihat akan menjejaskan usaha mengurangkan masalah berkenaan.

"Di Melaka terdapat empat atau lima projek RTB ini yang telah bermula sejak September dan ada dilaksanakan melalui rundingan terus, juga ada yang melalui proses tender, kerana ia khusus untuk mengurangkan masalah banjir.

"Saya mohon pertimbangan semula dan melihat semula kawasan-kawasan projek RTB ini yang perlu segera disiapkan," katanya kepada pemberita di Duyong di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyempurnakan majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Seri Duyong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Melaka menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM932 juta bagi melaksanakan projek RTB, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berisiko yang dikenal pasti.

Beliau berkata, antara projek RTB yang telah diluluskan sebelum ini ialah di Krubong, RTB Sungai Duyong, RTB Alor Gajah, RTB Jasin dan RTB Merlimau.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion, daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender untuk diteliti semula.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:50 PM