GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Segamat: Seorang peniaga makanan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjual makanan mengandungi mikroorganisma patogenik, Julai lalu.

Tertuduh, Abd Latif Yatim, 66, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Salina Omar.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual makanan yang tidak mematuhi kehendak penjualan makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan makanan 1985.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 2, Intan Food Court, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat di sini, pada jam 4.55 petang, 3 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM 10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Mohd Ibrahim Dalhan @ Mohd memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah kerana sudah dua tahun tidak menjalankan perniagaan akibat pandemik dan baharu memulakan semula perniagaan kira-kira pada Jun lalu.

Difahamkan, hasil analisa Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru mendapati makanan yang diuji iaitu ayam masak merah yang tercemar dengan mikroorganisma berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 5:33 PM