GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Temerloh: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan bekas diplomat dan anaknya untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan terhadap tiga pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 termasuk menanam 102 pokok ganja yang didakwa dilakukan pada Mei lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Noor membuat keputusan itu terhadap permohonan Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Rizal, 53, atas alasan pertuduhan yang dihadapi mereka adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

Roslan berkata, Seksyen 41B ADB 1952 menyatakan kesalahan yang membawa hukuman gantung atau penjara minimum lima tahun ke atas adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, selain ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah menetapkan 27 Februari depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili pemohon, berhujah Seksyen 41B ADB menceroboh kuasa dan budi bicara badan kehakiman dengan mengambil kuasa kehakiman untuk memberi atau menolak jaminan kepada tertuduh.

"Oleh itu, ia adalah sama dengan pelanggaran doktrin pengasingan kuasa. Kuasa untuk memberikan jaminan, sebagai kuasa kehakiman, tidak boleh disekat, bertentangan dengan Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian, dalam menilai sama ada akan memberikan jaminan, mahkamah akan menggunakan budi bicara secara bijaksana dengan mengambil kira pertimbangan yang relevan, antara lain, sifat dan keseriusan kesalahan, beratnya hukuman jika sabit kesalahan dan risiko tertuduh melarikan diri," katanya.

Muhammad Shafee juga berhujah bahawa walaupun tidak mudah bagi mahkamah memberikan jaminan bagi kesalahan berkaitan dadah berbahaya, namun terpulang kepada mahkamah untuk mendengar permohonan jaminan bagi menentukan dengan mengambil kira fakta dan keadaan kes itu, dalam melaksanakan kuasa budi bicara mahkamah.

Pemohon, menurut Muhammad Shafee, memberikan aku janji mereka untuk menghadiri semua prosiding mahkamah dan memahami bahawa jaminan mereka, jika dibenarkan, boleh dibatalkan sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah.

Muhammad Shafee ketika ditemui media kemudiannya memaklumkan bahawa beliau akan menasihatkan anak guamnya supaya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Pada prosiding itu, Pendakwa Raya selaku responden diwakili Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Ain-Nur 'Amiyerra Awod Abdullah.

Zainal Abidin dan Mohamed Rizal mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengedar 989.6 gram kanabis yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik di Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dihukum mati.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi tuduhan iaitu menanam 102 pokok ganja dan menyimpan minyak ganja seberat 58 milimeter, yang didakwa dilakukan di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan menanam ganja, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan memiliki minyak ganja pula dibuat di bawah Seksyen 9 (1)(b) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (2) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:08 PM