KEADAAN rumah Helmi yang musnah akibat banjir melanda Kampung Telekong, Chennah pada 18 Disember 2021.
KEADAAN rumah Helmi yang musnah akibat banjir melanda Kampung Telekong, Chennah pada 18 Disember 2021.

Jelebu: "Sukar dilupakan apabila banjir besar melanda rumah saya 18 Disember tahun lalu menyebabkan kediaman saya putus pada tiga bahagian," ujar Helmi Abd Ghafar, 45, yang menetap di Kampung Telekong, Chennah di sini.

Menurutnya, banjir besar ketika itu sukar digambarkan apabila rumahnya dirempuh arus deras.

"Mujur ketika itu saya bersama ahli keluarga sempat selamatkan diri walaupun dalam keadaan sehelai sepinggang," katanya.

Helmi berkata, pada malam kejadian, banjir mula menenggelami kawasan rumahnya namun dia dan isteri belum berpindah manakala anak terlebih dahulu menyelamatkan diri.

"Ketika itu kami dengar bunyi deruan air kuat disusuli air banjir melimpah masuk ke dalam rumah.

"Banjir besar turut membawa sisa dan batang kayu hanyut. Hentaman kuat batang kayu hanyut menyebabkan rumah kami terputus tiga," katanya.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga menyelamatkan diri dan berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Puom, di sini.

"Kami hanya pulang menjenguk rumah empat hari selepas kejadian.

"Menitis air mata kami melihat keadaan rumah rosak teruk selain kemusnahan harta benda dan kelengkapan lain," katanya.

Ujarnya dia dan keluarga tinggal di PPS 14 hari sebelum kembali ke rumah pusaka itu bagi membina semula kehidupan.

Katanya biarpun rosak teruk, mereka berusaha membaiki sebahagian kediaman itu yang masih boleh diduduki.

Menurutnya, musibah menimpa keluarganya mendapat perhatian kerajaan negeri dan pusat yang bersetuju membina rumah baharu khusus untuk mangsa banjir yang mengalami kemusnahan teruk.

"Alhamdulillah. Pada 6 Disember lalu, saya dan keluarga menerima kunci rumah baharu dibina kerajaan.

"Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri, persekutuan, Ahli Parlimen Jelebu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah dan Klawang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MPKK ) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JPKKP ) kerana banyak membantu mangsa banjir di sini.

"Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias turut membantu membiayai deposit bekalan elektrik dan air kepada kami dan enam keluarga lain," katanya.

Bina rumah baharu sebelah kediaman musnah teruk

MD Nor  dan Siti Sufiah di hadapan rumah mereka yang musnah akibat banjir pada 2021.
MD Nor dan Siti Sufiah di hadapan rumah mereka yang musnah akibat banjir pada 2021.

Trauma bencana banjir terburuk pernah berlaku di Hulu Langat tahun lalu belum hilang, kini penduduk sekitar daerah berkenaan bimbang kemungkinan tragedi sama berulang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berterusan di beberapa negeri mulai Sabtu hingga 21 Disember ini dengan empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor serta Selangor disenarai lokasi titik panas banjir di Semenanjung sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Lebih malang, ada penduduk belum selesai membaiki kediaman mereka yang rosak, tetapi kini perlu memikirkan persediaan untuk menghadapinya sekali lagi.

Md Nor Mahat dan isteri Siti Sufiah Hassan masing-masing 63 tahun hilang tempat berteduh apabila rumah pusaka didiami mereka di Kampung Jawa, Sungai Lui di sini, musnah sekelip mata dalam bencana pada 18 Disember 2021.

Selain rumah, Md Nor berkata, harta benda seperti perabot dan barangan elektrik turut rosak selain ada yang hilang dibawa arus.

Tukang rumah itu berkata, dia dan isteri menumpang di rumah anak selama dua bulan selepas kediamannya tidak dapat diduduki akibat dinding ranap manakala lantai pula reput akibat ditenggelami air selama beberapa hari.

"Dua bulan selepas itu, kami menyewa rumah di kawasan kampung ini sehingga kini sementara menunggu rumah baharu masih dalam pembinaan dijangka siap Februari tahun depan.

"Rumah lama kami sudah tidak boleh didiami lagi kerana rosak teruk. Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO mahu membantu membaik pulih rumah itu tapi tak boleh lagi dan kami cari alternatif lain dengan membina rumah baharu.

"Alhamdulillah, adanya bantuan baik pulih rumah daripada kerajaan dan sedikit wang simpanan. Saya bina rumah baharu sebelah rumah yang roboh itu. Malah saya binanya lebih tinggi sebagai persediaan hadapi kemungkinan banjir akan datang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Rozimah Mat Isa, 60, masih terbayang tragedi banjir besar yang disifatkan terburuk sejak 45 tahun menetap di kawasan berkenaan.

Peniaga makanan itu berkata, walaupun sudah setahun kejadian berlalu namuni masih ada perkakas rumah belum diganti manakala sebuah kereta serta tiga motosikal yang rosak belum dibaiki.

"Rumah saya yang rosak kini dalam proses baik pulih selepas permohonan bantuan banjir RM15,000 diluluskan baru-baru ini.

"Tiga bulan saya tidak berniaga kerana kedai makan juga rosak akibat banjir. Saya bersyukur banyak pihak datang menghulurkan bantuan termasuk membersihkan kedai, malah bekalan makanan dan barangan keperluan tiba tidak putus-putus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 12:00 PM