LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi mengenai insiden di sebuah pesta ria di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, berkata pihaknya mengambil maklum kejadian itu selain berdukacita terhadap tiga mangsa yang cedera.

"Pengoperasian pesta ria itu tidak mendapat sebarang kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Tindakan penguatkuasaan sudah diambil MPKS termasuk mengenakan kompaun dan menyita tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Sze Han memberi amaran kepada operator pesta ria dan pemilik tapak supaya tidak menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ia melibatkan soal keselamatan dan nyawa orang awam.

"Sebarang pengoperasian pesta ria yang masih berjalan tanpa kelulusan PBT mesti dihentikan serta-merta," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas terjatuh dari permainan 'Sotong Ride' yang sedang berpusing di pesta ria itu.

Dua mangsa adalah Noraziera Zulkiffle, 31 dan adik lelakinya, Shah Faraz Aiefan, 11. Manakala seorang lagi mangsa wanita tidak dapat dipastikan identitinya.

Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat, berkata pihaknya memberi notis kompaun kepada pengusaha pesta ria itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

Selain beroperasi secara haram, Rahilah berkata, pesta ria terbabit juga tidak mendapat kebenaran MPKS, selain polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:33 PM