TANGKAP layar video memaparkan orang ramai mengangkat mayat bayi dari dalam parit di Kampung Melayu Pandan. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video memaparkan orang ramai mengangkat mayat bayi dari dalam parit di Kampung Melayu Pandan. FOTO Ihsan Pembaca
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis menahan dua individu dipercayai pasangan kekasih susulan penemuan mayat seorang bayi perempuan dalam parit di Kampung Melayu Pandan di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, kedua-dua suspek itu ditahan antara jam 1 hingga 1.30 petang selepas polis menerima maklumat tentang penemuan mayat bayi itu pada jam 11.50 pagi.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan ke atas sepasang kekasih iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 27 tahun.

"Mereka yang juga operator kilang itu ditahan di kawasan Kampung Melayu Pandan di sini.

"Kita sedang menyiasat sama ada mereka ibu dan bapa kepada bayi yang baru dilahirkan itu atau tidak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas sehelai t-shirt ungu dan sehelai kain sarung warna hijau yang mempunyai kesan tompokan disyaki darah, selain dua telefon bimbit dan 42 biji pil daripada empat jenis ubat.

Mohd Roslan berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Khamis ini," katanya.

Terdahulu, video berdurasi 38 saat dan beberapa keping gambar memaparkan tindakan orang ramai mengangkat mayat bayi berkenaan dari parit tular di media sosial.

Mohd Roslan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita berusia 33 tahun sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Mayat bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk tindakan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 7:54 PM