Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Ainil Hawa adalah permata hati saya. Saya bangga kerana dia tidak pernah putus asa sepanjang pengajian walaupun menderita sakit," kata Fadzillah Abdul Aziz yang menerima ijazah anaknya pada Upacara Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Fadzillah, 56, hadir ditemani anak sulung, Fakrul Radzi, 32, bagi mengambil ijazah Sarjana Muda Sains Komputer mewakili anak bongsunya, Ainil Hawa Abdul Rozak yang meninggal dunia tujuh bulan lalu akibat penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE).

Ijazah disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan kepada Fadzillah, selepas upacara berkenaan.

Fadzillah dari Sungai Petani, Kedah berkata, meskipun hatinya luluh dan masih bersedih atas kehilangan itu, namun dia amat berbangga dengan pencapaian Ainil Hawa.

"Arwah seorang yang bercita-cita tinggi dan sebelum ini Ainil Hawa pernah beritahu bahawa dia sedang pertimbangkan tawaran kerja daripada empat syarikat terkemuka namun semuanya tidak kesampaian.

"Walaupun Ainil Hawa sudah tiada, biarlah ijazah ini disimpan sebagai pengganti dan menjadi kenangan kepada kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di USM, hari ini.

Fadzillah berkata, Ainil Hawa sebelum itu tidak mempunyai masalah berhubung penyakitnya selepas melakukan beberapa ujian kesihatan.

Katanya, arwah sepatutnya melakukan ujian imbasan paru-paru namun penyakit berkenaan tiba-tiba menyerang pada Mei lalu sebelum Ainil Hawa dimasukkan ke wad bagi rawatan susulan.

"Sebelum itu, dia beritahu belakang badannya sakit dan mahu dipeluk dan tidur dengan saya, memikirkan bahawa dia anak yang manja, saya turutkan saja permintaannya.

"Keesokan hari Ainil Hawa mengalami sesak nafas sebelum dimasukkan ke wad dan pada malam tanggal 20 Syawal, dia menghembus nafas terakhir pada usia 23 tahun, malah doktor juga beritahu bahawa terdapat kesan bengkak pada jantungnya.

"Bapanya meninggal dunia pada 2001, kini Ainil Hawa pula menyusul dan saya reda dengan kehilangan dua cinta hati," katanya.

Pada sidang ketujuh konvokesyen itu, seramai 613 graduan Sarjana Muda menerima sijil masing-masing yang dipengerusikan Jegathesan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 2:59 PM
FADZILLAH ditemani Fakrul Radzi menunjukkan foto anak bongsunya, Ainil Hawa yang meninggal dunia akibat penyakit SLE. FOTO Zuhainy Zulkiffli
FADZILLAH ditemani Fakrul Radzi menunjukkan foto anak bongsunya, Ainil Hawa yang meninggal dunia akibat penyakit SLE. FOTO Zuhainy Zulkiffli