DR Mahathir menyampaikan ucapan menerusi tayangan video pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 USM. FOTO Bernama
DR Mahathir menyampaikan ucapan menerusi tayangan video pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 USM. FOTO Bernama
Zuhainy Zulkiffli


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menerima Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena sambutan ulang tahun ke-50 institusi berkenaan, hari ini.

Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan anugerah berkenaan berikutan sumbangan besar tokoh tertinggi itu kepada negara dan masyarakat global.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak dapat hadir pada upacara konvokesyen itu, sebaliknya bakal menerima anugerah berkenaan dalam satu upacara khas yang akan diadakan di Istana Arau dalam masa terdekat.

Menerusi rakaman video, Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, anugerah berkenaan diterima dengan rasa tanggungjawab, penuh rasa insaf serta rendah diri.

Katanya, anugerah itu tentunya secara peribadi amat bermakna terutama apabila ia adalah pengiktirafan oleh universiti yang sudah mencapai usia 50 tahun.

“Sebelum ini (2014), USM juga pernah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains, justeru saya ucapkan terima kasih kepada universiti kerana menganggap saya layak menerima anugerah yang begitu berprestij dan tinggi nilainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berharap USM dapat menilai semula kejayaan dan kekurangan universiti dalam tempoh berkenaan serta mencari formula dan strategi baharu bagi menetapkan hala tuju masa hadapan institusi terbabit.

Katanya, hala tuju itu perlu berupaya mengekalkan serta memajukan universiti berkenaan sebagai penggerak kepada usaha transformasi pemikiran dan pendidikan bagi kelestarian hari esok.

“Universiti perlu memanfaat ruang kreativiti dan inovasi yang ada dalam dunia digital hari ini bagi meneroka ilmu baharu demi mengurangkan kebergantungan yang ada.

“Pada masa sama penuntut juga perlu keluar dari zon selesa dan bersama mengubah budaya ilmu yang ada dengan pemikiran lebih matang dan kritikal.

“Keberanian menghadapi cabaran, kebolehan berdikari dan keyakinan diri dapat membawa siswa dan siswi menguasai peringkat global,” katanya.

Selain Dr Mahathir, Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicole Ann David dan penerima Hadiah Nobel dalam bidang fizik (2014), Profesor Dr Shuji Nakamira menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan manakala bekas Pendaftar Wanita Pertama USM, Dato Hajah Siti Mazenah Saad pula menerima Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam.

Turut berlangsung ialah Upacara Konvokesyen ke-57 USM bermula hari ini hingga 29 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 3:42 PM