Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pelbagai cabaran dan ragam tiga pasangan suami isteri sepanjang mengikuti pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) akan menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan.

Kenangan enam graduan itu terpahat saat menaiki pentas bagi menerima sarjana muda dalam bidang masing-masing pada Upacara Konvokesyen Ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Terpaksa meninggalkan anak bongsu berusia tujuh bulan selama lebih tiga minggu menjadi detik sukar kepada pasangan graduan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Kota Kinabalu, Sabah, Adpatiyawan Ahmad, 46 dan isteri, Aslimah Salim, 42.

Adpatiyawan yang juga bapa kepada empat anak itu berkata, ketika itu anak bongsunya ditinggalkan sementara bagi dijaga ibu mentua di Kota Kinabalu sementara mereka mengikuti kursus intensif di kampus induk.

"Semua cabaran itu adalah kenangan dan antaranya ialah terpaksa menginap di hotel yang mempunyai rangkaian internet stabil bagi membolehkan kami menjawab soalan peperiksaan akhir secara dalam talian.

"Ketika menjawab peperiksaan akhir, saya pula mengalami gejala demam selama dua hari berikutan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari sebelumnya.

"Memang badan lesu dan tidak bermaya malah saya menjawab soalan dengan badan menggigil disertai sakit kepala," katanya ketika ditemui di USM, hari ini.

Mengulas lanjut Adpatiyawan berkata, kegembiraan pasangan itu berganda apabila anak sulung mereka, As'ad Zufayri, 20, turut bergraduasi di Universiti Malaya (UM) pada minggu depan.

Bagi pasangan anggota polis, Noor Hazwani Muhamad Rusli, 35, dan Syahiran Jabir Aida Ros, 37, turut berkongsi kisah sepanjang pengajian sebelum kedua-duanya berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan .

"Kami bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan akui bahawa membahagikan masa antara kerjaya, pelajaran dan tanggungjawab terhadap keluarga mempunyai cabarannya tersendiri.

"Terutama ketika anak sakit, ia memang menduga emosi," kata ibu kepada tiga anak itu ketika ditemui.

Bagi graduan Sarjana Muda Pengurusan Nur Afiqah Md Rejab, 28, dan suami, Sindarov Amal, 29, yang juga graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan pula berkata, mereka bercadang mahu menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

"Kami baru saja berkahwin dan sementara menantikan kehadiran cahaya mata, molek juga jika sambung pengajian," katanya.

Tiga pasangan itu adalah antara 740 graduan Sarjana dan Sarjana Muda yang menerima sijil masing-masing pada sidang keenam konvokesyen berkenaan dengan dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr M Jegathesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:46 PM
DR Narimah (tiga dari kiri) berbual dengan tiga pasangan suami isteri yang menerima sarjana muda dalam bidang masing-masing pada Upacara Konvokesyen ke-60 USM. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
DR Narimah (tiga dari kiri) berbual dengan tiga pasangan suami isteri yang menerima sarjana muda dalam bidang masing-masing pada Upacara Konvokesyen ke-60 USM. FOTO Zuhainy Zulkiffli.