NOR Omar (kanan) melihat petugas TNB melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis judi di Sitiawan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
NOR Omar (kanan) melihat petugas TNB melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis judi di Sitiawan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Polis menyerbu lima premis di sekitar Lumut dan Sitiawan dekat sini, pada Op Dadu selepas didapati terbabit dengan aktiviti perjudian.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memotong bekalan elektrik di kesemua premis terbabit.

"Daripada lima premis yang diserbu, empat adalah kedai aksesori telefon bimbit manakala satu lagi ialah kedai runcit.

"Semua premis ini pernah diserbu lebih dua kali sebelum ini. Tindakan pemotongan elektrik dilakukan berdasarkan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya ditemui di sebuah daripada premis aksesori telefon bimbit yang diserbu.

Menurut beliau, setiap premis terbabit mengutip keuntungan antara RM500 sehingga RM1,000 setiap hari.

Untuk rekod, 315 kertas siasatan berkaitan premis terbabit dalam kegiatan perjudian dibuka pada tahun lalu.

Sebanyak 260 kertas siasatan didakwa di mahkamah dan 14 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik.

"Manakala bagi tempoh Januari 2022 hingga Disember tahun ini, 330 kertas siasatan dibuka dengan 234 didakwa di mahkamah.

"Premis yang diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik adalah 18, termasuk lima premis ini," katanya.

Menurut Nor Omar, jumlah serbuan kes perjudian di Manjung adalah antara yang tertinggi dilakukan di Perak.

"Saya boleh sahkan jumlah serbuan kes judi di daerah ini antara tertinggi di Perak, namun masih banyak premis yang degil.

"Saya menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan premis judi supaya tindakan dapat diambil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Omar berkata, pihaknya masih berusaha mengenal pasti suspek kes menghina azan seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 24 November lalu.

"IPD Manjung sudah mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bukit Aman untuk kenal pasti suspek.

"Sebaik suspek dikenal pasti, kami akan menahannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:44 PM