Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin (kiri) meninjau keadaan peti sejuk simpanan mayat di Hospital Tenom yang rosak. FOTO Ihsan pembaca
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin (kiri) meninjau keadaan peti sejuk simpanan mayat di Hospital Tenom yang rosak. FOTO Ihsan pembaca
Izwan Abdullah


Tenom: Meninggal dunia di Hospital Tenom, tetapi mayat terpaksa dihantar ke Hospital Keningau yang berjarak sejauh 43 kilometer untuk disimpan sebelum atau selepas bedah siasat disebabkan kerosakan peti simpanan mayat.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin selepas melihat sendiri beberapa masalah dihadapi Hospital Tenom yang menjejaskan rakyat, khususnya pesakit atau waris yang berurusan di hospital berkenaan.

Riduan berkata, berikutan itu beliau meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mengatasi segera masalah yang dihadapi Hospital Tenom terutama peti simpanan mayat.

"Kerosakan peti sejuk tempat simpanan mayat menyusahkan rakyat kerana mayat si mati terpaksa dihantar dan disimpan di Hospital Keningau.

"Dalam kes tertentu, mayat si mati terpaksa dikebumikan segera kerana tiada tempat menyimpannya dan masalah ini sudah berlaku sekian lama.

"Justeru, saya berharap KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera demi kemudahan rakyat Tenom," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tenom bagi meninjau aduan orang ramai berhubung masalah di hospital berkenaan.

Riduan berkata, fasiliti lain yang memerlukan perhatian KKM ialah keadaan bilik bedah siasat yang sudah daif dan kekurangan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Katanya, selain itu masalah kapasiti tangki tidak mencukupi untuk menyimpan air, masalah kekurangan mesin rawatan dan peralatan hospital yang tidak berfungsi dengan baik serta keadaan hospital yang daif.

Katanya, pihak Hospital Tenom memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu utama itu selewat-lewatnya akhir bulan ini.

"Sudah tiba masanya KKM menaik taraf Hospital Tenom dan menggantikan mesin serta peralatan lama dengan peralatan baharu kerana rakyat mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti di bawah Kerajaan Perpaduan.

"Saya berharap Menteri Kesihatan yang baharu, Dr Zaliha Mustafa akan memberi keutamaan kepada rayuan penduduk Tenom yang mengharapkan perkhidmatan kesihatan yang baik di samping infrastruktur kesihatan mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:04 PM