DATUK Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
DATUK Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sentiasa berusaha bersama-sama kepimpinan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi memperkasakan lagi aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha itu dilakukan melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan khususnya dalam memperkasakan kawalan sempadan negara daripada sebarang pencerobohan luar, seiring dengan peranan dan fungsinya.

Beliau berkata, sebagai peneraju dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam, KDN akan sentiasa memastikan penyampaian perkhidmatan yang diberikan adalah perkhidmatan cemerlang dan berintegriti selaras dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"KDN, pelbagai jabatan dan agensi di bawahnya menzahirkan ucapan tahniah kepada Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri baharu (dan) amat mengalu-alukan kepimpinan baharu.

"...dan akan sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan kepada kepimpinan Menteri Dalam Negeri dalam mencapai hasrat kerajaan untuk memenuhi harapan rakyat," katanya dalam kenyataan.

Wan Ahmad Dahlan berkata, KDN juga akan memberi keutamaan kepada aspek penyelenggaraan fasiliti dan kebajikan anggota selain meneruskan usaha bagi meningkatkan tadbir urus yang cekap dan memerangi gejala dadah selaras dengan komitmen kepimpinan baharu.

"Justeru, warga KDN bersama (semua) jabatan dan agensi akan sentiasa bekerja dalam satu pasukan, bersatu hati bagi mencapai matlamat yang ditetapkan untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Semalam, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, beliau bertekad untuk berusaha sedaya upaya menggalas jawatan Menteri Dalam Negeri sebaik mungkin dalam usaha memastikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain di bawah kementeriannya berperanan lebih proaktif.

Jelasnya, beliau akan memfokuskan usaha kepada penyelesaian isu yang dilihat dapat diselesaikan segera selain meningkatkan suasana tempat kerja yang lebih kondusif.

Saifuddin Nasution adalah antara 28 Jemaah Menteri serta dua timbalan perdana menteri yang dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 8:29 AM