Marzuki Mohamad
Marzuki Mohamad
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Dakwaan wujudnya penyelewengan dana sebanyak RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar psywar (perang saraf) untuk memburukkan pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, mereka sengaja memutar dakwaan itu berulang kali bagi menampakkan kononnya ia benar.

"Mereka yang jaja isu seleweng RM600 bilion ini sebenarnya mengguna kaedah psywar yang lapuk. Pembohongan yang diulang berkali-kali akhirnya akan nampak seperti benar.

"Mereka yang tabur fitnah ni pun tahu ia tak wujud. Tapi mereka fitnah juga," katanya dalam satu penulisan di Facebook beliau semalam.

Beliau sendiri musykil mengenai dakwaan wujudnya penyelewengan RM600 bilion, yang disifatkannya tidak tahu dari mana ia muncul.

"Jumlah RM600 bilion ini saya tak tahu dari mana datangnya. Yang saya tahu lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa Muhyiddin jumlahnya RM530 bilion. Apa dia yang banyak sangat tu?

"RM477 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan kerajaan. Ia adalah duit tuan-tuan atau duit bank," katanya.

Selain itu katanya, pakej itu juga meliputi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM145 bilion, pengurangan bayaran KWSP berjumlah RM10 bilion, moratorium pinjaman bank RM180 bilion serta banyak lagi.

Beliau menjelaskan, ada juga yang membabitkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM83 bilion, iaitu Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Subsidi Upah disalurkan terus kepada rakyat.

Beberapa pihak sebelum ini meminta polis menyiasat dakwaan kononnya wujud penyelewengan dana RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin, namun sehingga kini, belum ada sebarang bukti didedahkan kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 11:43 AM