GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.

Menerusi kenyataan hari ini, SPRM berkata, suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu berkenaan.

"Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkannya.

"Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen itu," katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (bekas Menteri Kewangan dalam Kabinet Muhyiddin) bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden Bersatu juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Hari ini, Tengku Zafrul yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilaporkan berkata, beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion.

"Tiada apa yang nak disorokkan. Setakat ini SPRM belum hubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh," katanya dalam satu hantaran di Twitter beliau, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 5:42 PM